Kuala Lumpur: Negara kini memimpin inisiatif bersejarah sebagai negara ASEAN pertama yang melancarkan Projek Bandar Wakaf di Gaza.
Inisiatif berkenaan bertujuan untuk membangunkan semula Gaza selepas Ramadan, sekaligus menunjukkan komitmen kukuh negara dalam memperjuangkan isu kemanusiaan di peringkat global.
Projek itu juga manifestasi daripada visi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu membawa perubahan positif kepada rakyat Palestin.
Ahli Dewan Negeri Lembah Jaya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman, berkata dengan sokongan pelbagai pihak terutama sektor korporat dan dana bantuan bebas negara sekali lagi dihormati di mata dunia.
Jelasnya, kepimpinan negara dalam Projek Bandar Wakaf bukan sekadar memberi bantuan tetapi mempromosikan model wakaf inovatif mampu menjadi contoh kepada negara lain.
“Dana dikumpul adalah hasil kerjasama antara kerajaan, sektor swasta dan masyarakat, menggambarkan kepercayaan tinggi terhadap kemampuan dan keikhlasan negara untuk membantu rakyat Palestin.
“Sebagai negara menjunjung tinggi nilai kemanusiaan, Malaysia Madani terus menonjolkan solidariti bersama rakyat Palestin dalam bentuk tindakan konkrit.
“Bukan hanya menggantung bendera Palestin, tetapi bersedia memberi bantuan nyata untuk membantu rakyat Gaza pulih,” katanya dalam satu kenyataan.
Ujar beliau, projek itu merangkumi pembinaan Masjid Berkembar Shah Alam, Apartmen Wakaf Selangor dan Sekolah Malaysia di Gaza, menyediakan keperluan asas bagi rakyat Palestin juga memberikan harapan baharu.
Jelasnya, projek berkenaan adalah satu pelaburan untuk kesejahteraan dan ia tidak akan memiskinkan negara.
“Sebaliknya, ia mencerminkan semangat perjuangan kemanusiaan yang tiada batas.
“Saya juga ingin mengingatkan agar kita tidak mudah terpengaruh dengan segelintir pihak mungkin cemburu terhadap pengiktirafan diterima Perdana Menteri.
“Kita harus mengenepikan segala polemik dan terus menyokong usaha murni ini,” tuturnya lagi.
Beliau turut menyarankan agar rakyat bijaksana, bersama-sama memperkukuhkan sokongan terhadap projek itu dengan percaya bahawa tangan yang memberi lebih mulia daripada tangan yang menerima.
“Sama ada sebagai individu, sektor swasta, atau badan bukan kerajaan (NGO), saya menyeru untuk memberikan sokongan penuh terhadap Projek Bandar Wakaf ini.
“Ini adalah peluang untuk negara sekali lagi memimpin dalam pembangunan serantau dan global serta membuktikan bahawa negara komited dalam memberikan bantuan kepada yang memerlukan.
“Bersama-sama, kita boleh membawa perubahan yang bermakna kepada Gaza dan seterusnya dunia,” ujarnya.