Lelaki tular baling spanar, pecahkan cermin kenderaan, tunjuk jari tengah diburu polis

POLIS Sentul sedang memburu seorang individu lelaki selepas didapati membaling sebatang spanar hingga mengakibatkan cermin sebuah kenderaan pecah di Jalan Kuching semalam. 

Kejadian berpunca apabila suspek yang menunggang motosikal berang selepas dihon sebuah kenderaan akibat memotong secara merbahaya. 

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, mangsa yang memandu kenderaan jenis Vellfire membunyikan hon selepas terkejut dengan tindakan tersebut. 

“Penunggang motosikal telah tunjukkan jari tengah terhadap mangsa akibat tidak puas hati. 

“Mangsa kemudian melihat suspek menghampiri kenderaan dan membaling sebatang spanar menyebabkan cermin belakang kenderaan pecah. 

Ujarnya lagi, polis sedang memburu suspek berkenaan menerusi rakaman video yang dibuat daripada kenderaan tersebut yang berlaku sekitar jam 4 petang semalam. 

Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat.