Lelaki tak tahan derita Covid-19 ditemui mati tergantung

SEORANG mayat lelaki ditemui tergantung di jejantas Taman Impian Ehsan, Balakong di Lebuhraya Lingkaran Penyuraian Trafik Kajang (SILK) pada 28 Jun.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, Pusat Kawalan Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang telah menerima panggilan daripada orang awam pada jam 7.47 pagi memaklumkan terlihat lelaki tergantung di jejantas itu.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa berusia 56 tahun ditemui dalam keadaan tergantung di jejantas itu.

“Maklumat awal daripada waris mendapati mangsa disyaki dijangkiti Covid-19 dan dia mengatakan tidak tahan dengan sakit dialaminya seperti batuk, demam dan sesak nafas. Mayat diturunkan dengan bantuan bomba dan seterusnya dihantar ke Bahagian Forensik Hospital Kajang untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, seorang pegawai dan sembilan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Tun Hussein Onn dikejarkan ke lokasi kejadian.

Selain itu, kerja-kerja menurunkan mayat juga dilakukan sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

Sumber: Harian Metro