Lelaki maut selepas terima suntikan besarkan otot punggung

SEORANG lelaki berperwatakan lembut maut selepas selesai mendapatkan perkhidmatan membesarkan otot punggung.

Dalam kejadian jam 3 petang, mangsa berusia 31 tahun disedari tidak bernafas dalam keadaan terbaring di katil oleh rakannya di bilik sebuah hotel, lapor Berita Harian.

Sebelum itu, mangsa mengambil suntikan bagi tujuan membesarkan otot punggung daripada seorang wanita yang juga peniaga kosmetik pada jam 10 pagi, hari sama.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, mangsa datang ke hotel berkenaan dengan ditemani rakannya.

Beliau berkata, mangsa dikatakan membuat janji temu bersama wanita dari Melaka itu untuk mendapatkan perkhidmatan tersebut dengan bayaran RM500 bagi satu suntikan.

“Pada jam 12 tengah hari selepas selesai suntikan, mangsa meminta izin untuk berehat dalam bilik kerana penat. Ketika itu mangsa ditemani rakannya manakala wanita terbabit keluar hotel untuk pulang ke Melaka.

“Bagaimanapun pada jam 3 petang, wanita itu kembali semula ke hotel selepas dimaklumkan mangsa tidak bernafas dan tidak bergerak,” katanya ketika dihubungi Berita Harian.

Beliau berkata, kematian mangsa disahkan oleh pegawai kesihatan yang hadir ke lokasi dan mayat mangsa di hantar ke Jabatan Forensik Hospital Teluk Intan untuk dibedah siasat.

Bagaimanapun, setakat ini doktor tidak dapat mengaitkan punca kematian mangsa dengan kesan suntikan yang diambil.

“Hasil laporan bedah siasat mendapati punca kematian disebabkan paru-paru bengkak dan berair.

“Kes diklasifikasi sebagai mati mengejut dan tiada sebarang unsur jenayah,” jelasnya.

Sumber: Berita Harian