Lebih 600 chef sertai Malaysia Culinary World Cup 2023, bakal pecahkan rekod dunia!

LEBIH 600 chef tempatan dan antarabangsa menyertai Malaysia Culinary World Cup 2023 dalam percubaan untuk meraih pengiktirafan daripada Guinness World Records sebagai pertandingan memasak secara serentak terbesar di dunia.

Penampilan chef yang terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk pelajar kolej, suri rumah dan pertubuhan bukan kerajaan akan memeriahkan acara tersebut yang bermula hari ini dan akan berlangsung selama 3 hari di Pusat Dagangan Dunia.

Acara yang mempunyai sembilan kategori utama dan 62 subkategori, yang 40 daripadanya melibatkan masakan tempatan berkenaan memberi peluang kepada semua chef yang menyertai untuk mempamerkan bakat dan kreativiti masing masing dalam bidang masakan.

“Kategori yang dipertandingkan adalah ‘Patisserie’, Gastronomi Malaysia (21 hidangan Malaysia termasuk nasi lemak, nasi ayam, laksa, burger Malaysia, ulam, ikan sungai Malaysia), Masakan India, Masakan Cina, Masakan Panas Moden, Masakan Berasaskan Tumbuhan atau Vegetarian, ‘Showmanship’ (seperti teh tarik dan roti canai), Masakan Jepun, Masakan Artistik dan Cabaran Kotak Hitam Makanan Warisan Malaysia.”, kata Pengerusi dan Presiden Persatuan Kulinari Malaysia Bersatu, Chef Arthur Lim kepada Astro Awani.

“Setiap kategori akan dinilai oleh 92 chef tempatan dan antarabangsa. Setelah selesai pertandingan, Guinness World Records akan mengumumkan keputusannya,” tambahnya lagi.

Manakala Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Khairul Firdaus Akbar Khan, ketika ditemui pada majlis pelancaran pertandingan tersebut pula berkata yang acara ini akan membuka ruang untuk chef antarabangsa lebih mengenali makanan tempatan kita dan dapat mempromosikan lagi gastronomi Malaysia dalam peta kulinari dunia.

Sumber gambar – Freepik & ICookAsia | Sumber laporan – Astro Awani