Lapar punya pasal, budak lima tahun order Foodpanda cecah RM2,000

“BERDERAU jantung saya apabila melihat jumlah menu dan harga pesanan dibuat anak saudara selepas memeriksa telefon bimbit. Mujur saya sempat padam semua pesanan itu sebelum dihantar, jika tidak entah bagaimana mahu membayarnya,” kata Nurul Azira Yasin, 33.

Nurul Azira memberi reaksi itu ketika diminta mengulas lanjut hantarannya di Facebook (FB) kumpulan Anak Sepahkan Apa Hari ini? berhubung kisah anak saudaranya, Muhammad Ammar Naqeeb Muhammad Amran Sim, 5, yang hampir membuat pesanan makanan berjumlah hampir RM2,000 menerusi aplikasi penghantaran makanan, Foodpanda.

Pesanan yang dibuat anak saudara Nurul Azira.

Hantaran itu mendapat perhatian warganet yang sebahagiannya menganggap ia perkara melucukan dan ada juga berkongsi pengalaman sama.

Bercerita lanjut, Nurul Azira berkata, insiden itu berlaku pada pertengahan bulan lalu ketika dia sedang menyediakan hidangan makan malam bersama kakaknya, Norolhuda, 36, yang juga ibu Muhammad Ammar Naqeeb.

“Pada hari berkenaan, saya pinjamkan telefon bimbit kepada Ammar (nama gelaran) sementara solat dan menyediakan hidangan untuk makan malam bersama ibunya.

“Selesai makan malam, kakak maklumkan Ammar membuat pesanan pizza menerusi aplikasi di telefon bimbit saya. Saya terus panik dan minta semula telefon bimbit daripadanya. Mulanya, dia tidak mahu pulangkan tetapi akhirnya beralah.

“Terkejut rasanya selepas memeriksa telefon bimbit kerana melihat ada 65 pesanan makanan dibuat Ammar dengan sebahagian menu dipesan daripada restoran mewah. Jumlahnya pula hampir mencecah RM2,000 tetapi saya bernasib baik kerana dia belum menghantar semua pesanan itu untuk diproses,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Nurul Azira yang menetap di kuarters kakitangan Institut Jerman Malaysia, Bangi berkata, sebahagian menu dipesan anak saudaranya dalam kuantiti banyak dengan paling mahal adalah 14 set nasi beriani gam berharga lebih RM500.

“Selain itu, dia turut memesan pizza, spageti, burger, sate dan daging wagyu.

“Perkara ini tidak pernah terjadi sebelum ini dan itu yang membuatkan saya terkejut. Mungkin dia sangkakan aplikasi berkenaan adalah permainan dan sebab itu seronok menekan semua gambar menu dilihatnya,” katanya.

Nurul Azira bersama anak saudaranya, Muhammad Ammar.

Nurul Azira berkata, niatnya berkongsi kisah itu di FB adalah memberi peringatan kepada ibu bapa supaya berhati-hati apabila memberi anak mereka menggunakan telefon bimbit.

“Saya muat naik tangkap layar dan kisah itu secara ringkas seminggu selepas insiden berlaku.

“Tidak terfikir pun untuk tular kerana selepas muat naik, saya lakukan kerja seperti biasa. Tidak lama selepas itu, banyak notifikasi diterima dan rupanya, hantaran dimuat saya sudah menerima banyak tanda suka dan komen.

“Rata-ratanya terhibur dengan kisah itu malah ada warganet yang pernah melalui pengalaman sama namun tidak kurang juga mengecam tindakan saya kerana memberi telefon bimbit kepada anak saudara,” katanya.

Sumber: Harian Metro