Lans Koperal didakwa ambil rasuah RM900 sepanjang 3 tahun bertugas

SEORANG anggota polis yang berpangkat Lans Koperal bernama Muhamad A Jalalal, 33 tahun, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth, hari ini, di atas tiga pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM900 pada tahun 2016 hingga 2018.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh dikatakan telah menerima wang berjumlah RM300 pada 19 November 2016 daripada sebuah syarikat perkhidmatan pengangkutan ketika bertugas di Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (Unit Operasi Lebuhraya Zon Utara 3).

Dua lagi pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah adalah berkenaan tindakan tertuduh mengulangi kesalahan tersebut dengan menerima wang daripada syarikat yang sama.

Kedua-dua kesalahan itu yang berlaku pada tarikh 9 Januari 2017 dan 21 Februari 2018, masing-masing melibatkan wang sejumlah RM300 yang telah dimasukkan ke dalam akaun simpanan milik tertuduh.

Muhamad, yang tidak diwakili peguam, didakwa melakukan semua kesalahan itu mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali bagi setiap pertuduhan, jika sabit kesalahan.

Memetik laporan Harian Metro, tertuduh, yang kini bertugas di dalam Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Ipoh, Perak telah memohon supaya jumlah jaminan dikurangkan disebabkan baru dua bulan kembali bekerja selepas digantung tugas dan hanya memperoleh pendapatan bulanan kira-kira RM1,000 untuk menanggung anak yang menghidap autisme, selain menyelesaikan perkara lain seperti hutang.

Hakim telah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan dengan seorang penjamin, berserta syarat tambahan yang memerintahkan tertuduh untuk melapor diri di pejabat SPRM setiap bulan dan menyerahkan dokumen perjalanan sehingga kes selesai.

Mahkamah telah menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 10 April ini.

Sumber gambar – Freepik | Sumber laporan – Harian Metro