Langkawi kini dibuka buat semua negara – Nancy Shukri

DESTINASI pelancongan terkemuka negara, Pulau Langkawi kini telah dibuka buat semua pengunjung tanpa mengira mana-mana negara.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kelonggaran itu dibuat berikutan SOP ketat yang telah dikeluarkan bagi mengawal penularan COVID-19.

“Prosedur ini termasuklah memastikan dia (pelancong) mesti datang menggunakan khidmat ejen pelancongan yang berdaftar dengan kementerian.

“Ejen yang akan mengatur semua perjalanan dan mereka tidak datang terus ke Langkawi secara peribadi.

“Ini mekanisme yang kita gunakan kerana kalau ada apa-apa terjadi seperti berlakunya kes, ejen itu yang akan bertanggungjawab,” katanya hari ini.

Menurutnya lagi, gelembung pelancongan antarabangsa itu dibuat sebagai usaha untuk memulihkan ekonomi rakyat yang terkesan akibat pandemik.

“Pada masa sama, perkembangan di Langkawi ini akan menjadi model kepada kita untuk meneliti kelakuan (behaviour) pelancong dalam membantu membendung penularan COVID,” katanya lagi.

Sejak pengumuman gelembung pelancongan itu baru-baru ini, banyak rumah inap desa di Langkawi telah menerima tempahan pelancong terutama dari Eropah.

Jumaat lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan Gelembung Pelancongan Antarabangsa bagi Projek Rintis Pulau Langkawi akan dimulakan pada 15 Nov ini dengan pematuhan beberapa prosedur operasi standard (SOP).

Kumpulan sasaran bagi gelembung pelancongan itu ialah pelancong berkualiti dan individu yang telah lengkap vaksinasi COVID-19.