Langgar objek besi, Pegawai Menteri cedera parah

AKIBAT terlanggar objek besi di laluan lebuh raya, seorang pegawai Menteri yang merupakan Setiausaha Sulit Kanan cedera parah apabila patah tulang hidung dan pipi.

Kejadian berlaku di Lebuh Raya Utara Selatan menghala ke Damansara pada jam 12.30 malam semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, kejadian berkemungkinan disebabkan objek yang terjatuh daripada lori.

Keadaan kenderaan mangsa.

“Kejadian menyebabkan pemandu hilang kawalan hingga melanggar penghadang jalan.

“Siasatan awal mendapati tiada sebarang kerja pembinaan dilakukan di kawasan sekitar lokasi kejadian,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Mangsa yang berusia 47 tahun itu dikejarkan ke hospital Ara Damansara untuk rawatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.