Lama menghilang, Nicky Liow akhirnya serah diri

AHLI perniagaan yang diburu polis Datuk Seri Nicky Liow telah menyerah diri di pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial hari ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, tangkapan itu dibuat pada jam 11 pagi selepas dia menyerah diri secara sukarela kepada polis.

“Atas arahan Jabatan Peguam Negara pada 23 Mac, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil telah memfailkan pertuduhan ke atas Liow Soon Hee @ Nicky Liow di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan hasil daripada aktiviti haram (AMLAATFPUAA) 2001 (Akta 613) di Mahkamah Shah Alam,” kata Mohd Kamarudin.

Mengulas lanjut, ahli perniagaan itu akan dihadapkan ke Mahkamah Shah Alam pada Selasa bagi berdepan 26 pertuduhan di bawah Seksyen 4(1)(a) (AMLAATFPUAA) 2001

Liow, 34, sebelum ini dikehendaki polis atas dakwaan pembabitannya jenayah terancang dan pengubahan wang haram.

Pada Mac lalu, polis turut menahan seramai 68 individu yang dipercayai merupakan ahli kumpulan Geng Nicky.

Ini termasuk rampasan 16 kenderaan mewah serta wang tunai berjumlah lebih RM7 juta.