Kuala Lumpur: BBC atau Kelab Penyokong Kerajaan Madani (KPKM) menegaskan bahawa tuduhan yang dibuat oleh Ketua Pembangkang terhadap Perdana Menteri di Dewan Rakyat adalah tidak benar dan berunsur fitnah.
Menurut KPKM, kenyataan tersebut bukan sahaja bertujuan untuk mengelirukan rakyat tetapi juga berpotensi menghasut serta menimbulkan ketidakstabilan dalam negara.
KPKM menegaskan bahawa setiap dakwaan dibuat terhadap kepimpinan negara seharusnya berasaskan fakta dan bukti yang kukuh, bukannya sekadar retorik politik untuk meraih sokongan.
“Semua pihak sebaiknya menghormati prinsip demokrasi dan tidak menyalahgunakan platform Parlimen untuk menyebarkan maklumat yang boleh mengganggu keharmonian negara.
“KPKM menggesa umum agar tidak mudah terpengaruh dengan naratif yang tidak berasas dan sebaliknya menilai sesuatu isu berdasarkan maklumat yang sahih,” ujarnya dalam satu kenyataan media.
Selain itu, KPKM menekankan kepentingan kesepaduan nasional serta menyokong usaha kerajaan dalam melaksanakan agenda pembangunan negara demi kesejahteraan rakyat.
Katanya, tiada unsur penderhakaan dan Perdana Menteri mengesahkan kewujudan titah Tuanku Sultan Pahang berkaitan tahanan rumah bagi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Beliau menjelaskan bahawa titah tersebut tidak pernah diserahkan kepadanya dan menegaskan
bahawa urusan berkaitan titah addendum adalah di bawah bidang kuasa Jabatan Peguam
Negara (AGC), bukan di bawah tanggungjawab beliau sebagai Perdana Menteri.
“Manipulasi fakta oleh pembangkang ini adalah taktik lama untuk mengelirukan rakyat dengan
memainkan sentimen institusi diraja demi kepentingan politik mereka sendiri.
“Ini adalah satu cubaan yang tidak bertanggungjawab untuk mencetuskan keresahan dalam kalangan rakyat,” katanya lanjut.
KPKM turut memberitahu bahawa tarikan pelaburan bergantung pada polisi dan ekonomi, bukan fitnah politik.
“Keputusan pelabur bergantung kepada kestabilan ekonomi, polisi mesra pelabur, dan keyakinan terhadap kepimpinan negara, bukannya fitnah politik yang tidak berlandaskan realiti.
“Fitnah sebegini bukan sahaja mencerminkan ketidakmatangan politik tetapi juga boleh
merosakkan hubungan antara kerajaan dan institusi diraja serta menjejaskan imej negara
di peringkat antarabangsa,” tuturnya.
Selain itu, KPKM turut menegaskan PMX memberikan komitmen dan penghormatan tertinggi terhadap institusi Diraja malah berpegang teguh kepada prinsip Raja Berperlembagaan.