Konsert Bantu Tingkat Pelbagai Sektor Ekonomi Domestik

Ada Apa Dengan Melly..? PROM NITE

Kuala Lumpur: Penganjuran konsert hiburan memberikan impak besar terhadap pertumbuhan dan pertambahan ekonomi selain menyediakan peluang pekerjaan.

Penganjuran konsert besar bukan sahaja melibatkan industri muzik, tetapi turut memberi manfaat kepada sektor lain seperti perhotelan, restoran, pengangkutan dan sektor peruncitan.

Pengarah Program MBA, Putra Business School dan Pensyarah Kanan Ekonomi, Prof. Dr. Ahmad Razman Abdul Latiff berkata, penganjuran konsert dalam negara dapat menarik ribuan pelancong domestik dan antarabangsa yang memperkayakan ekonomi tempatan.

Katanya, acara hiburan seperti konsert menyumbang kepada peningkatan bilangan pelancong domestik dan antarabangsa untuk menghadiri acara tersebut.

“Konsert dalam negara dapat meningkatkan peluang ekonomi melalui beberapa saluran utama antaranya adalah peningkatan pelancongan domestik.

“Konsert besar atau festival muzik sering kali menarik penonton dari luar bandar atau negeri.

“Pengunjung akan membelanjakan wang untuk penginapan, makanan, pengangkutan bahkan aktiviti lain yang akhirnya memberi kesan kepada sektor pelancongan,” ujarnya ketika dihubungi.

 

Ahmad Razman melihat penganjuran konsert dapat membawa pertambahan ekonomi domestik.

Katanya, perbelanjaan pengunjung membeli cenderamata, makanan atau minuman semasa acara membantu meningkatkan pendapatan peruncit tempatan.

Jelasnya, dari aspek ekonomi setempat penganjuran konsert memberikan imbuhan kepada banyak sektor selain memberi fokus kepada jualan tiket sahaja.

“Syarikat besar atau jenama yang menaja konsert dapat mempromosikan produk masing-masing sekali gus membantu meningkatkan kesedaran jenama.

“Penganjuran acara ini juga mencipta peluang pekerjaan memandangkan konsert memerlukan tenaga kerja dalam pelbagai bidang seperti pengurusan acara, pemasaran, teknikal (audio, visual), keselamatan, katering dan banyak lagi,” ujarnya lanjut.

 

Nur Nurul Hida memandang positif terhadap penganjuran konsert, namun perlu diberikan pemantauan lebih ketat.

Sementara itu, pengusaha katering dan acara, Nur Nurul Hida Ibrahim berkata, jika dipandang positif penganjuran konsert membuka peluang pekerjaan sementara industri kreatif termasuk artis, pemuzik dan pencipta kandungan untuk mendapatkan pendapatan.

“Selain itu, ia turut memberi peluang kepada syarikat produksi, pereka pentas dan juruteknik untuk memperoleh pendapatan daripada kerja-kerja yang berkaitan.

“Penganjuran konsert juga memberi peluang kepada sektor pembinaan dan meningkatkan daya tarikan satu kawasan menerusi penyelenggaraan dan penganjuran konsert,” katanya.

Jelasnya, penganjuran konsert selamat dan bebas dadah adalah satu cabaran besar memerlukan kerjasama antara pihak penganjur, pihak berkuasa dan penonton.

“Pendidikan, penguatkuasaan dan kesedaran adalah elemen penting dalam memerangi penyalahgunaan dadah dalam konsert, sekali gus menjamin keselamatan dan kesejahteraan semua yang terlibat.

“Penubuhan bilik pemulihan, penyediaan pasukan perubatan dan kemudahan memberi bantuan segera adalah penting jika berlaku insiden berkaitan dadah.

“Namun, kos dan usaha yang diperlukan untuk menyediakan semua ini seringkali menambah beban kepada pihak penganjur,” ujarnya.