Home Berita Semasa KKM giat aktiviti pengesanan COVID-19 dalam kalangan pekerja asing

KKM giat aktiviti pengesanan COVID-19 dalam kalangan pekerja asing

PUTRAJAYA, 6 Mei — Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mempergiatkan aktiviti pengesanan jangkitan COVID-19 dalam kalangan pekerja asing khususnya yang berada di Zon Merah di Selangor dan Kuala Lumpur, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya, setakat ini, KKM telah melaksanakan ujian saringan ke atas 22,339 pekerja asing dan 986 daripadanya didapati positif COVID-19.

“Dalam rawatan KKM, ada 457 kes, empat kes dirawat di Unit Rawatan Rapi, 525 kes telah sembuh dan ada empat kematian melibatkan pekerja asing.

Sekarang (KKM) kenal pasti pekerja asing sebagai satu kumpulan sasar (untuk aktiviti pengesanan), jadi kita akan laksanakan ujian terutamanya mereka (yang berada) di Zon Merah sebab Zon Hijau tiada laporan pekerja asing dijangkiti. Kita akan laksanakan (aktiviti pengesanan ini) dalam tempoh terdekat,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan COVID-19, di sini hari ini.

Beliau berkata tempat tinggal pekerja asing yang padat antara faktor berlakunya penularan wabak itu dalam kalangan mereka.

“Masalah utama, kita lihat mereka duduk rumah atau apartment padat, dan mereka bekerja bukan satu sektor sahaja, ada kerja di pasar borong dan ada di tapak pembinaan dan isunya mereka duduk sekali, padat dan terlalu ramai, jadi kita kena buat saringan,” katanya.

Ditanya berkenaan warga asing yang lari dari sebuah pusat kuarantin di Kuala Lumpur, Dr Noor Hisham berkata KKM sudah membuat laporan polis dan usaha menjejaki mereka akan dibuat oleh pihak polis.

“Yang pasti mereka bukan positif tetapi dikuarantinkan sebab ada terdedah dengan kes-kes positif (COVID-19). Kesemua mereka negatif tetapi mereka perlu jalani kuarantin selama 14 hari,” katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata penularan wabak COVID-19 dalam komuniti tempatan masih terkawal kerana strategi KKM yang melaksanakan ‘pendekatan bersasar’ membuahkan hasil.

“Tindakan kita untuk ‘pendekatan bersasar’ seperti kumpulan Seri Petaling, tahfiz dan sekarang warga asing. Ini tiga kumpulan sasar kita dan kita akan kenal pasti lokaliti dan ambil tindakan.

“Hari ini 45 kes, masih dua angka dan terkawal. Kalau kita lihat PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) 3 kita dah capai dua angka, kita harap dalam tempoh seminggu lagi angka semakin berkurangan,” katanya sambil menambah terkawal bermaksud apabila fasiliti kesihatan negara berupaya menampung dan merawat kes baharu.

Beliau berkata KKM menjangkakan kes baharu COVID-19 akan berjaya mencapai rekod satu atau kekal dua angka, seawal 12 Mei ini.

Walaupun jangkaan itu sedikit lewat berbanding unjuran asal iaitu pada 5 Mei, beliau optimis unjuran baharu tersebut dapat dicapai dan lebih penting kadar penularan COVID-19 adalah terkawal.

Mengambil contoh kejayaan Korea Selatan dan Taiwan dalam membendung penularan COVID-19, kata beliau, konsep kepatuhan rakyat negara itu terhadap prosedur operasi standard (SOP) perlu dicontohi rakyat Malaysia.

“Amalan disiplin tinggi dan kepatuhan SOP telah diamalkan di negara-negara itu…mereka telah berjaya dan turut melaksanakan kaedah seperti PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat). Mencontohi kejayaan mereka, kita harap rakyat Malaysia patuh kepada SOP dan amalkan disiplin sosial yang tinggi…mungkin kita akan berjaya,” katanya.

— BERNAMA

 

Exit mobile version