Kes Remaja Cekik Adik Hingga Mati : Ibu Bapa Juga Pernah Dicekik, Suspek Berubah Sikap Selepas Menjadi Mangsa Buli Di Sekolah

Bapa remaja 14 tahun yang mencekik adiknya sehingga mati di Kampung Bukit Piatu tengah hari semalam mendakwa anak sulungnya itu mengalami trauma akibat dibuli dan mula meracau sejak beberapa bulan lalu.

Dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari itu, mangsa, Muhammad Haziq Damiri Najli, 9, yang merupakan anak ketiga dari empat beradik maut di lokasi dengan kesan kecederaan di muka, hidung dan leher.

Menurut Najli Yakob, 42, sebelum kejadian dia dan isterinya turut pernah dicekik beberapa kali dan telah membawa remaja berkenaan menjalani rawatan kesihatan diperlukan termasuklah kaedah perubatan Islam.

Katanya, sikap suspek mula berubah selepas mendakwa menjadi mangsa buli di sebuah sekolah Arab di Alor Gajah sejak tahun lalu dan perkara itu telahpun dilaporkan kepada pihak sekolah serta laporan polis dibuat.

“Pernah saya ambil dia dari sekolah dan setelah beberapa jam berada di rumah dia seperti naik gila apabila tiba-tiba melaungkan zikir Subhanallah dengan kuat berulang kali dalam keadaan mata terbeliak.

“Kemudian dia terkam dan cekik saya, memang umurnya 14 tahun tetapi tenaga dia seperti orang dewasa, isteri saya pun ada beritahu pernah dicekik di dapur dan memang susah nak lepas katanya, mujur adik-adiknya datang.

“Kita ni orang tua, kalau dia cekik kita masih boleh melawan tetapi budak memang susah, saya tengok rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) memang dia (Muhammad Haziq) tak boleh (melawan), kejadian berlaku dalam tiga minit,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya, malam tadi.

Tambahnya, susulan itu dia telah membawa anak sulungnya itu mendapatkan rawatan dan suspek menunjukkan perkembangan positif sejak hujung bulan lalu.

Jelasnya, remaja berkenaan mengadu telah dibuli dua orang rakan senior termasuk dicekik ketika sedang tidur, disimbah air, dipukul dan ditendang menggunakan kasut but.

“Dia sebenarnya mula dibuli sejak tingkatan satu, namun dipendamkan sehinggalah ia semakin memburuk pada tahun ini dan kerap menelefon ibunya untuk mengadu, awalnya saya ingat ia suasana biasa budak asrama tetapi bila ada kesan kecederaan saya terus laporkan kepada pihak sekolah.

“Bagaimanapun tiada tindakan sewajarnya diambil terhadap dua orang pelajar yang membuli dan sejak sikap anak saya berubah, saya biarkan dia belajar di rumah buat sementara waktu,” katanya.

Mengulas lanjut tragedi menyayat hati itu Najli memberitahu, ketika kejadian dia berada di Terengganu atas urusan kerja, manakala isterinya yang merupakan seorang jururawat sedang bertugas di Hospital Melaka.

Jelasnya, Muhammad Haziq terpaksa tinggal berdua bersama abangnya di rumah selepas mengalami sakit mata sejak kelmarin, menakala seorang lagi anaknya berusia 12 tahun bersekolah dan bongsu berusia 4 tahun dijaga pengasuh.

“Saya dan isteri sentiasa pantau CCTV dan bila saya tengok rakaman dia (suspek) mula buka kain (pelekat) di depan pintu rumah dan hanya memakai baju serta seluar dalam, saya dah dapat rasa dia dah tak betul.

“Kemudian dia tiba-tiba dia lari dan cekik adik dia, dari atas sofa bergelut sampailah jatuh ke lantai, dia tumbuk berkali-kali pipi kanan dan kiri sambil menjerit Subhanallah, sampai adiknya tidak bernyawa,” katanya pilu.

Katanya, kali terakhir dia mereka sekeluarga meluangkan masa bersama-sama adalah pada Hari Raya Aidiladha baru-baru ini dan sempat membawa anak-anaknya berjalan-jalan di sekitar bandaraya Kuala Lumpur.

Sumber : Kosmo