Kes rasuah Rosmah tangguh lagi, MySejahtera masih risiko

Foto: https://www.malaymail.com/news/malaysia/2020/07/14/rosmah-asked-for-bigger-cut-in-solar-project-because-of-political-cost-witn/1884371

PERBICARAAN melibatkan isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor ditangguhkan susulan status MySejahteranya yang masih berisiko akibat mempunyai kontak rapat COVID-19.

Perkara itu turut dimaklumkan ketika prosiding pada Jumaat oleh peguamnya, Datuk Jagjit Singh selain ia turut disahkan pihak pendaftar mahkamah.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan seterusnya menetapkan Isnin depan sebagai perbicaraan semula kes sementara menantikan status MySejahteranya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram mencadangkan agar prosiding dilakukan secara hibrid bagi proses memberi keterangan.

Mohamed Zaini bagaimanapun menetapkan tarikh tambahan bagi perbicaraan berkenaan berikutan masih terdapat dua saksi pembelaan yang perlu memberi keterangan.

“Saya tidak mahu menjejaskan keseluruhan perbicaraan hanya sebab ianya okay pada peringkat ini. Saya mahu lebih berhati-hati,” katanya ketika prosiding hari ini.

Mahkamah kemudian memutuskan tarikh 12 hingga 13 Disember serta 23 dan 24 Januari depan untuk sebutan semula kes.
Mahkamah pada Rabu lalu menangguhkan perbicaraan melibatkan isteri bekas Perdana Menteri itu setelah beliau disahkan mempunyai kontak rapat dengan pesakit COVID-19.

Perbicaraan yang sepatutnya berlangsung hari ini adalah berkaitan kes rasuah melibatkan dana projek solar hibrid RM1.25 bilion membabitkan Rosmah Mansor.

Terdahulu, Rosmah yang tiba di perkarangan mahkamah hanya dilihat berada di dalam kenderaan jenis Proton Perdana dan dilihat meninggalkan bangunan tersebut sebaik sahaja memaklumkan situasi tersebut.