Kes J&T, bawa ke tribunal andai kata tak boleh setel

MANA-mana pihak yang terkesan dengan tindakan sekumpulan pekerja syarikat kurier J&T Express boleh membawa perkara tersebut kepada pihak Tribunal Tuntutan Pengguna (TTPM).

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid berkata, tindakan berikut boleh diteruskan sekiranya tiada penyelesaian daripada pihak terlibat.

“Saya nasihatkan pengguna yang terkesan barang mereka boleh buat aduan untuk tahu dimana puncanya.

“Jika tiada penyelesaian maka kita ada tuntutan tribunal TTPM untuk diambil tindakan untuk bantu mereka yang teraniaya untuk pastikan mangsa dapat hak mereka,” katanya hari ini.

Dalam pada itu, Rosol turut mengingatkan pengguna agar peka dengan syarat serta terma yang ditetapkan syarikat kurier termasuk barangan larangan bagi tujuan pengeposan.

Perkara berkenaan penting untuk diberi perhatian bagi menjamin proses tuntutan.

Baru-baru ini tular di media sosial berhubung tindakan sekumpulan pekerja JNT yang melempar barangan pelanggan dikatakan berpunca akibat mogok terhadap majikan.

Insiden tersebut tercetus ekoran salah faham antara pekerja dan pihak pengurusan J&T berkaitan agihan bonus.

Rakaman video berdurasi 15 saat di salah sebuah hub kurier syarikat itu turut menunjukkan lambakan timbunan bungkusan yang difahamkan mengalami kelewatan penghantaran.

Video itu mendapat pelbagai reaksi netizen dan pelanggan yang kesal dengan tindakan pekerja terbabit kerana dikhuatiri akan merosakkan barangan dalam bungkusan.