Kes Buli: Tiada ruang untuk perbuatan buli di bawah MARA – Mahdzir Khalid

MAJLIS Amanah Rakyat Mara (MARA) tidak akan berkompromi dengan gejala buli yang tular dipercayai melibatkan pelajarnya.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pihaknya telah mengarahkan siasatan terperinci membabitkan video yang tular di media sosial.

“Saya telah mengarahkan pihak pengurusan MARA untuk menjalankan siasatan terperinci berkaitan kes berkenaan dan kita tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku buli seperti yang tular di media sosial hari ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tegasnya lagi, tindakan tegas bakal diambil sekiranya perkara itu disahkan benar berlaku membabitkan kesemua pelajar tersebut.

“Pihak MARA tidak sesekali memberi ruang kepada sebarang tindakan atau perbuatan yang menyalahi etika kemanusiaan,” katanya lagi.

Video yang tular di media sosial menyaksikan sekumpulan pelajar di sebuah sekolah berasrama melakukan perbuatan buli dengan bertindak memukul seorang pelajar secara bergilir-gilir.

Insiden berkenaan turut mendapat kecaman pelbagai pihak yang menggesa tindakan diambil terhadap kesemua pelajar terbabit.