Kes Bella telah dirujuk Peguam Negara, satu lagi kes dalam siasatan

POLIS mengesahkan dua kertas siasatan telah dibuka berhubung kes seorang remaja kurang upaya (OKU) berusia 13 tahun dikenali sebagai Bella yang didakwa menjadi mangsa penderaan di sebuah rumah.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata satu kertas siasatan telah dirujuk ke Jabatan Peguam Negara manakala satu lagi masih dalam siasatan.

“Dua kertas siasatan dibuka terhadap suspek dan kita buka mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 dan siasatan ini telah selesai dan telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara pada 13 Julai, kes dalam kajian pihak Jabatan Peguam Negara,” katanya kepada Astro AWANI.

Sementara itu, Siti Kamsiah turut memaklumkan berhubung satu lagi kes yang masih berada di peringkat siasatan pihak polis melibatkan saksi yang telah diambil keterangan.

Meskipun permohonan reman sebelum ini ditolak namun katanya ia tidak bererti siasatan dihentikan.

“Kes ini kita siasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan juga Seksyen 506 Kanun Keseksaan serta Seksyen 5(2) Akta Rumah Asuhan.

“Kes ini masih dalam siasatan dimana laporan dibuat pada 14 Julai dan walaupun permohonan reman ditolak, siasatan masih berjalan.

“Kita harap semua pihak bersabar, siasatan kes dibuat sama seperti kes-kes lain,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Siti Kamsiah menasihatkan orang ramai untuk menghentikan sebarang spekulasi berhubung kes berkenaan yang masih berada dalam siasatan polis.

Kes penderaan terhadap Bella sebelum ini mendapat liputan yang meluas termasuk kecaman hebat dalam kalangan netizen berhubung kecederaan yang dialami terhadap remaja berusia 13 tahun itu.

Bella dipercayai menjadi mangsa penderaan sewaktu berada di sebuah rumah di ibu kota yang turut didiami bersama suspek.