Kerajaan Umum Bantuan Khas Kewangan 2025, Pengecualian Cukai Diberikan

Ada Apa Dengan Melly..? PROM NITE

PUTRAJAYA, 27 Januari 2025 – Kerajaan mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) kepada penjawat awam yang layak, termasuk pegawai lantikan tetap, sementara, dan kontrak, selain guru interim dan petugas MySTEP.

Menurut surat edaran bertarikh hari ini yang ditandatangani oleh Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dallan Abdul Aziz, bayaran BKK juga meliputi pegawai yang sedang bercuti bergaji penuh, separuh gaji, dan tanpa gaji.

Bagi pesara kerajaan dan veteran yang dilantik semula serta masih berkhidmat, mereka akan menerima bayaran sebanyak RM500. Pembayaran itu akan dibuat dalam dua peringkat, iaitu RM250 oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan baki RM250 oleh jabatan tempat pegawai bertugas.

Selain itu, pegawai yang meninggal dunia pada atau selepas 25 Februari 2025 juga layak menerima bayaran BKK sebanyak RM500. Kerajaan turut mengesahkan bahawa bantuan khas ini akan dikecualikan daripada cukai pendapatan.

Bagaimanapun, BKK tidak akan diberikan kepada pegawai dalam kumpulan pengurusan tertinggi, mereka yang dikenakan tindakan buang kerja atau turun pangkat, serta pegawai yang meletak jawatan dalam tempoh 1 Januari hingga 25 Februari 2025.

Bagi pegawai yang ditahan kerja, digantung kerja, atau telah menerima surat pertuduhan daripada pihak berkuasa tatatertib, pembayaran BKK mereka akan ditangguhkan sehingga dibebaskan daripada pertuduhan.

Pengumuman ini disambut baik oleh masyarakat, khususnya dalam kalangan penjawat awam. Rata-rata menzahirkan rasa syukur atas inisiatif kerajaan dalam membantu meringankan beban kewangan mereka.

Seorang penjawat awam, Abdul Kadir, 42, meluahkan rasa terima kasihnya kepada kerajaan MADANI atas bantuan yang diberikan.

“Saya amat bersyukur kerana kerajaan masih prihatin dengan nasib penjawat awam. Bantuan ini sedikit sebanyak dapat membantu kami dalam menguruskan keperluan harian tanpa disedari,” katanya.

Pengumuman ini dijangka memberi manfaat kepada ribuan penjawat awam yang layak serta menjadi bukti komitmen kerajaan dalam menjaga kebajikan rakyat.