Kerajaan tetap terbuka berbincang dengan pembangkang – PM

Ada Apa Dengan Melly..? PROM NITE

Cyberjaya : Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kerajaan tetap terbuka untuk berbincang dengan pihak pembangkang mengenai peruntukan untuk Ahli Parlimen (MP) pembangkang. Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata sebarang isu boleh dibincangkan melalui mesyuarat, dan draf Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai peruntukan pembangkang boleh dipinda jika perlu.

“Saya pernah menghadiri lima mesyuarat ketika saya dalam pembangkang. Berbincang dulu draf boleh dipinda. Kenapa buat bising di luar? Nak jadi wira jalanan? Belajar dulu,“ katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Hari Hasil ke-29 di Menara Lembaga Hasil Dalam Negeri di sini hari ini.

Anwar menjawab kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam, yang mendakwa gabungan itu mempunyai alasan kukuh untuk menolak syarat yang ditetapkan kerajaan mengenai peruntukan untuk MP pembangkang.

Muhyiddin mendakwa syarat dalam MoU itu terlalu ketat, seolah-olah pembangkang perlu menyerahkan segalanya kepada kerajaan.

Pada 22 Feb, Anwar mengulangi nasihatnya supaya MP pembangkang berbincang dengan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof mengenai peruntukan tersebut. Beliau berkata perbincangan sebegini bukan perkara baru, memandangkan ketika Pakatan Harapan dalam pembangkang, beliau sendiri pernah berbincang dengan Perdana Menteri ke-9, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Anwar berkata pembangkang sengaja membesar-besarkan isu ini untuk menarik perhatian orang ramai, dengan ada yang mendakwa mereka menghadapi beban kewangan dan berhutang, walaupun memperoleh pendapatan sehingga RM40,000 sebulan.

“Anda tahu berapa gaji seorang MP, termasuk elaun mesyuarat? RM30,000 hingga RM40,000. Jadi, bukanlah mereka langsung tiada wang,“ katanya. Beliau juga menegaskan bahawa peruntukan untuk semua kawasan parlimen, termasuk yang dipegang pembangkang, tetap disalurkan kepada rakyat tanpa mengira parti politik.

“Contohnya, ambil kawasan parlimen seperti Tambun, katakan ia di bawah pembangkang. Projek jalan raya tetap akan dilaksanakan persoalannya sama ada dana itu akan disalurkan terus kepada rakyat atau dicadangkan oleh MP

“Jadi, mendakwa rakyat terbeban adalah tidak benar. Kedua, untuk mengatakan MP kini miskin saya tidak tahu bagaimana RM40,000 sebulan masih dianggap miskin,“ tambah Anwar.