Kemaluan cedera, budak lelaki maut dikerjakan BF ibu

KETUA Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan. - Gambar kredit: Astro Awani

SEORANG kanak-kanak lelaki berusia empat tahun ditemui maut selepas mangsa didapati dipukul teman lelaki ibunya.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima laporan tersebut daripada Jabatan Kecemasan Hospital Kajang, Selangor sekitar jam 1.20 tengah hari Khamis.

“Mangsa dikejarkan ke hospital bersama ibunya dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Pihak hospital memaklumkan mangsa telah meninggal dunia selepas menemui kesan kecederaan di bahagian kemaluan mangsa dan kesan lebam di beberapa bahagian badan,” katanya menerusi satu kenyataan pada Jumaat.

Menurut Mohd. Zaid, hasil pemeriksaan polis mendapati mangsa telah didera di sebuah apartmen di Eco Majestic, Semenyih.

Perbuatan itu dipercayai dilakukan suspek tanpa disedari ibunya sebelum mereka bergegas ke hospital.

Bagaimanapun polis telah menahan ibu mangsa berusia 31 tahun itu serta teman lelakinya, 28 tahun pada jam 5.45 petang Khamis.

Kedua-dua mereka direman selama enam hari bagi tujuan siasatan.

Polis mengklasifikasikan kes sebagai kes bunuh dan meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat untuk tampil membantu siasatan. – TheNewsMalaysia