Kemalangan tiga kenderaan, tiga beradik terbunuh

TIGA beradik maut dalam kemalangan yang membabitkan tiga kenderaan di Kampung Bekapit, Jalan Tungku, di Lahad Datu, malam tadi.

Kejadian yang berlaku pada pukul 7 malam itu melibatkan mangsa, seorang kanak-kanak berusia 4 tahun, Ellaine Sappari, bersama kakaknya, Isang, 39 tahun, dan abangnya, Amil, 45 tahun, yang maut di lokasi kemalangan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menjelaskan yang pihaknya telah menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada pukul 7.02 malam.

Berikutan itu, lima pegawai dan anggota bersama Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu terus diarahkan untuk bergerak ke lokasi kemalangan.

“Kemalangan telah membabitkan lapan orang mangsa dari tiga buah kenderaan iaitu sebuah motosikal Honda Wave dan dua buah kereta Mitsubishi Triton dan Isuzu D Max,” kata jurucakap tersebut kepada Harian Metro.

“Tiga mangsa yang menaiki motosikal tersebut disahkan meninggal dunia di lokasi, manakala lima lagi mangsa daripada dua kenderaan berlainan tidak mengalami sebarang kecederaan,” tambahnya lagi.

Jurucakap juga berkata bahawa tiada operasi menyelamat yang perlu dilakukan oleh pasukan bomba, hanya pemeriksaan oleh anggota EMRS kepada mangsa.

Sumber gambar – Foto Ihsan Bomba | Sumber laporan – Harian Metro