Kejam! Nenek saudara sepak, tendang kanak-kanak lima tahun hingga maut

KANAK-KANAK 5 tahun yang meninggal dunia pada 30 Disember tahun lalu dipercayai telah disepak dan ditendang sehingga pecah usus oleh nenek saudaranya.

Mangsa dipercayai diperlakukan sedemikian oleh suspek yang juga seorang warga Indonesia berusia 55 tahun sejak tinggal bersama pada 2017.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, mangsa ditemui tidak sedarkan diri oleh ibu saudaranya di rumah mereka di Kampung Sungai Chinchin jam 7 malam sebelum menghubungi ambulans.

Hasil bedah siasat yang dijalankan mendapati mangsa maut akibat kecederaan pada ususnya yang pecah dipercayai kerana didera.

Keluarga mangsa pada mulanya mendakwa mangsa mengalami sakit perut dan muntah sebelum ditemui tidak sedarkan diri di ruang tamu selain enggan membuat bedah siasat.

Susulan itu polis menahan enam individu, masing-masing tiga lelaki dan tiga wanita berusia 25 hingga 55 tahun termasuk suspek utama yang juga nenek saudara mangsa untuk siasatan lanjut.

Pemeriksaan lanjut juga menemui kesan parut lama pada tubuh mangsa yang dipercayai dicucuh dengan ubat nyamuk yang dibakar.

Polis sebelum ini mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut sebelum membuka siasatan sebagai kes bunuh kerana terdapat unsur jenayah pada mangsa.

Siasatan juga tidak menolak kemungkinan suspek mendera mangsa yang tidak mampu berjalan dan berdiri kerana sering membuang air besar tanpa sedar.

“Ayah dan ibu si mati telah berpisah sejak tahun 2017 dan si mati kanak kanak malang ini tinggal bersama ibu saudaranya dan dijaga oleh nenek saudaranya dengan dua lagi adik yang lain.

“Setelah bedah siasat yang kita perolehi kita laksanakan siasatan lanjut. Hasil siasatan lanjut ini mendedahkan berlakunya penderaan terhadap kanak kanak malang ini menggunakan pelbagai objek,” katanya di sini hari ini.

Mangsa juga mempunyai rekod penyakit lebihan cecair dalam otak selain pernah menjalani pembedahan namun mampu bertutur dengan baik.

Bapa mangsa yang tinggal bersama dipercayai tidak menyedari kejadian menimpa anaknya kerana bekerja sebagai pemandu lori dan sering tiada di rumah.

Semua suspek ditahan 1 Januari lalu kini direman selama enam hari sehingga 7 Januari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sumber: awani

Most Popular