Petaling, 1 April 2025 – Satu kejadian kebakaran melibatkan pipeline gas Petronas telah berlaku di kawasan berhampiran stesen minyak Petronas Putra Heights, Subang Jaya, hari ini. Pihak berkuasa dan pasukan penyelamat sedang giat menjalankan operasi bagi mengawal situasi dan menyelamatkan mangsa yang terperangkap.
Menurut laporan dari Smart Selangor Operation Centre (SSOC), kebakaran hanya melibatkan saluran gas utama dan bukan stesen minyak Petronas itu sendiri. Saluran gas berkenaan telah ditutup bagi membolehkan api padam sepenuhnya setelah gas habis terbakar.
Bagaimanapun, kebakaran tersebut telah merebak ke kawasan Kampung Kuala Sungai Baru yang berdekatan, menyebabkan beberapa rumah turut terbakar. Jumlah sebenar rumah yang terjejas masih dalam proses penilaian.
Lebih membimbangkan, terdapat mangsa yang terperangkap di dalam rumah-rumah yang terbakar. Pasukan penyelamat sedang berusaha keras untuk mengeluarkan mereka dari kawasan bahaya. Setakat ini, mangsa yang berjaya diselamatkan telah dibawa ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Serbaguna Masjid Putra Heights.
Sebilangan mangsa yang mengalami kecederaan melecur sedang menunggu ambulans untuk mendapatkan rawatan lanjut. Sementara itu, pihak masjid telah mengambil inisiatif untuk memberikan bantuan kepada mangsa yang terjejas.
Koordinat lokasi kejadian telah dikenalpasti seperti berikut:
• Lokasi kebakaran: 3.01736, 101.58385
• Lokasi PPS: 2.997600, 101.576732
Pihak berkuasa dan SSOC akan terus memantau perkembangan kejadian ini serta memberikan maklumat terkini dari semasa ke semasa.
Orang ramai dinasihatkan untuk menjauhi kawasan kejadian bagi mengelakkan risiko keselamatan serta memberi laluan kepada pasukan penyelamat untuk menjalankan tugas mereka dengan lancar