Kecoh berhabis RM50K untuk titi kayu, JKR miri akhirnya tampil dedah cerita sebenar…

JABATAN Kerja Raya (JKR) Bahagian Miri akhirnya tampil dengan kenyataan bagi menjelaskan kegusaran orang ramai mengenai pembinaan sebuah jeti kayu yang dikatakan menelan kos terlalu tinggi.

Antara faktor kos tinggi pembinaan titi yang terletak di Kampung Mutap, Bekenu itu termasuklah kos logistik selain faktor keselamatan dan keadaan jalan untuk ke kawasan berkenaan.

Titi tersebut juga didakwa menggunakan kayu jenis belian.

Kayu belian yang digunakan pula bernilai RM9,000 semeter dan ia lebih rendah daripada kadar harga pasaran.

Titi berkenaan dikatakan menggunakan kayu jenis belian

“Dengan bajet RM50,000, JKR Sarawak berjaya mereka bentuk jeti sepanjang 15 meter dengan dua tangga,” tulis kenyataan tersebut.

Menurut JKR Bahagian Miri, cadangan awal adalah untuk membina jambatan keluli, namun terpaksa ditolak disebabkan kos yang terlalu tinggi.

Dimaklumkan juga, Ketua Kampung Mutap Sediah Abdullah memilih jeti daripada kayu belian sebagai ganti dan beliau perlu memohon peruntukan tambahan daripada wakil rakyat kawasan untuk pembangunan fasa kedua jeti itu.

“Ketika lawatan tapak, Ketua Kampung juga memaklumkan bahawa sungai itu dipenuhi buaya dan kontraktor yang dilantik hendaklah mengambil langkah berjaga-jaga apabila melaksanakan kerja pembinaan.

“Kebimbangan lain termasuk hakikat bahawa akses jalan ke Kampung Mutap adalah jalan ladang yang amat membebankan,” tulis kenyataan itu lagi

JKR Bahagian Miri juga berkata, cabut undi bagi projek itu dibuat pada 30 November 2021 di Pejabat Residen Miri dan kontraktor yang dipilih ialah Syarikat Bukit Balat, dengan kontrak ditawar untuk permulaan kerja pada 7 Mac 2022 hingga 6 Jun 2022.

“Projek berjaya disiapkan pada 6 April 2022 dan pemeriksaan tapak terakhir dilaksanakan secara bersama oleh JKR Bahagian Miri, Ketua Kampung dan kontraktor,” tulis kenyataan tersebut.

Sumber: Berita Harian