Kebenaran solat Jumaat, ibadah haji diputuskan Khamis ini

ZULKIFLI: Kita buat perbincangan secara khusus dengan pihak berautoriti dan ada kena mengena dengan dasar yang ingin diputuskan. - Gambar :Astro Awani

PUTRAJAYA: Kerajaan akan membuat keputusan sama ada solat Jumaat dan berjemaah dibenarkan diadakan di masjid seluruh negara berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) telah digantikan dengan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula esok.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, pengumuman tersebut akan dibuat pada Khamis ini selepas perbincangan dilakukan bersama pihak berkaitan.

 

“Kita buat perbincangan secara khusus dengan pihak berautoriti dan ada kena mengena dengan dasar yang ingin diputuskan. InsyaAllah pada Khamis ini kita akan umumkan,” katanya pada sidang media berkenaan kad laporan bagi Mei dan pelancaran laman web rasmi menteri di sini hari ini.

Sementara itu, ditanya mengenai nasib 31,000 bakal jemaah haji, beliau berkata, kerajaan akan membuat keputusan pada hari sama.

 

“Untuk haji pun sama. Kita akan umumkan hari Khamis ini,” katanya.

Pada Ahad lalu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan PKPP bagi menggantikan PKPB dalam strategi negara memerangi pandemik koronavirus (COVID-19).

PKPP menyaksikan hampir keseluruhan sekatan yang dibuat sebelum ini telah dibuka semula.

Semalam, Kementerian Kesihatan Malaysia melaporkan hanya tujuh kes positif COVID-19 di negara ini direkodkan dan merupakan angka terendah sejak gelombang kedua wabak it melanda negara pada Mac lalu.

 

Credit Astro Awani