“Ke Mana Tumpahnya Kuah Kalau Tidak Ke Nasi”- Ibu dan anak dicekup edar dadah

POLIS Petaling Jaya menahan dua individu yang juga merupakan ibu dan anak yang bergiat aktif dalam sindiket pengedaran dadah di Petaling Jaya pada 10 Februari lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, kedua-dua mereka masing-masing berusia 25 dan 49 tahun.

“Hasil semakan, suspek lelaki mempunyai tujuh rekod kes dadah manakala ibunya mempunyai tiga rekod berkaitan kes sama.

“Polis turut merampas dadah jenis heroin, syabu, serta sebuah kenderaan jenis Hyundai Atos,” katanya pada satu kenyataan hari ini.

Antara barang rampasan.

Difahamkan kedua-dua suspek aktif dengan sindiket tersebut sejak hampir setahun di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

Sementara itu, Ezanee memaklumkan serbuan seterusnya telah membawa kepada tangkapan seorang lagi suspek lelaki berusia 22 tahun pada hari dan lokasi yang sama.

Polis percaya suspek berkenaan mempunyai kaitan sama dengan sindiket pengedaran dadah tersebut.

“Suspek ini tidak mempunyai rekod jenayah lampau namun polis berjaya merampas ganja berjumlah RM7,000 serta sebuah kenderaan jenis Honda Insight dengan nilai rampasan RM32,000,” katanya lagi.

Bagaimanapun hasil saringan ujian air kencing mendapati kesemua mereka negatif dadah.

Ketiga-tiga suspek direman selama tujuh hari manakala kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Polis sedang giat memburu beberapa lagi suspek lain bagi mengesan kemungkinan wujudnya sindiket lain yang terlibat.