Home Berita Semasa Kanak-kanak parah ditikam jiran positif dadah

Kanak-kanak parah ditikam jiran positif dadah

Akibat pengaruh dadah, seorang kanak-kanak lima tahun parah menjadi mangsa tikam jirannya sendiri.

Suspek yang berusia 27 tahun dikatakan masuk ke rumah mangsa melalui pintu dapur sebelum menikam mangsa yang sedang baring diruang tamu rumahnya.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah, berkata suspek sudah diberkas pihaknya selain turut menemui pisau yang dibuang dikawasan semak rumahnya.

“Suspek dikatakan meluru masuk ke rumah mangsa dan terus menikam perut sebelah kiri mangsa dengan pisau.

Suspek melarikan diri ke rumahnya yang terletak kira-kira 50 meter dari rumah mangsa selepas mendengar jeritan ibu dan kakak mangsa yang ketika itu turut berada di ruang tamu rumah berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Adzli berkata, berikutan itu, mangsa mengalami kecederaan serius akibat kesan tikaman sedalam kira-kira empat sentimeter.

“Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah dan semakan turut mendapati lelaki terbabit mempunyai rekod jenayah lampau berhubung kes pecah rumah,” katanya.

Menurutnya, punca kejadian masih dalam siasatan, bagaimanapun menurut ibu mangsa, suspek dilihat mengamuk pada malam sebelum hari kejadian akibat pengaruh dadah.

Katanya, mangsa dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim dan menerima rawatan di zon merah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mencederakan dengan senjata,” katanya.

Sumber Harian Metro

Exit mobile version