Kakitangan IPT Lesap RM500,000 Akibat Diperdaya Kekasih ‘Love Scam’

SEORANG kakitangan wanita sebuah institut pengajian tinggi berputih mata selepas mendakwa menanggung kerugian sebanyak RM500,000 akibat diperdaya kekasih maya yang dikenalinya melalui laman sosial.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din berkata, mangsa dikatakan mula berkenalan dengan seorang lelaki dipercayai warga asing melalui laman sesawang mencari jodoh pada Julai 2020.

Mangsa mengatakan suspek sering meminta wang daripadanya dengan memberi pelbagai alasan sejak mereka berkenalan, jelas beliau kepada Harian Metro

“Sepanjang tempoh perkenalan hampir tiga tahun bermula 2020 hingga 2023, mangsa membuat 22 transaksi wang ke beberapa akaun yang diberikan suspek membabitkan pindahan berjumlah RM500,000.

“Mangsa mengatakan dia memberikan semua wangnya termasuk wang simpanan dan wang pinjaman peribadi kepada suspek kerana rasa percaya dan sayang memandangkan sudah lama berkenalan.

“Selain itu, mangsa yang mempercayai suspek turut akur dengan arahan kekasihnya yang memintanya membuang segala bukti resit pemindahan wang ke akaun yang diarahkan selama ini,” terangnya lebar dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mangsa hanya menyedarinya dirinya ditipu setelah rakan sekerjanya memaklumkan kekasih hatinya itu bukan individu yang berhubung dengannya selama ini.

Beliau berkata, mangsa yang merasa terpedaya terus membuat laporan polis kelmarin dan kes disiasat atas Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai diingatkan supaya lebih berhati-hati dengan segala taktik penipuan jenayah ‘scammer’ yang memperdaya ramai mangsa,” katanya.

Sumber gambar – Indonesia Expat | Sumber laporan – Harian Metro