PETALING JAYA: Jumlah mangsa banjir di seluruh negara mencatatkan penurunan setakat 7 pagi Selasa dengan sejumlah 94,607 mangsa masih berada di pusat pemindahan sementara (PPS).
Menurut laman web Public Info Banjir, mangsa melibatkan 28,381 keluarga ditempatkan di 406 PPS yang dibuka di seluruh negara.
Kelantan mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 58,141 mangsa daripada 18,338 keluarga berlindung di 168 PPS di lapan daerah.
Terengganu pula mencatatkan 25,191 mangsa daripada 6,592 keluarga yang berlindung di 143 PPS.
Di Kedah, terdapat 7,501 mangsa daripada 2,309 keluarga ditempatkan di 40 PPS di lima daerah.
Manakala Pahang yang baru sahaja terjejas oleh banjir, menempatkan 1,852 mangsa di 22 PPS.
Sementara itu, di selatan tanah air, terdapat 1,052 mangsa daripada 297 keluarga yang berlindung di 20 PPS.