PUTRAJAYA: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menyangkal satu hantaran di media sosial yang mendakwa penjawat awam tidak lagi menerima skim pencen bermula tahun ini.
Menerusi hantaran tular itu, dikatakan skim pencen penjawat awam telah ditukar kepada caruman Kumpulan Wan Simpanan Pekerja (KWSP) dan ahli politik tidak lagi diberi lebih daripada satu pencen.
“Jangan percaya dengan informasi tular daripada Whatsapp mahupun Telegram dan sebagainya.
“Sentiasa rujuk dengan JPA bagi perkara yang melibatkan pekeliling dan dasar,”
“Jadilah Rakyat, Pegawai Awam dan Pesara yang bijak. Dapatkan butiran sahih dengan membaca dan pandai menilai berita yang benar dan tidak,” menurut JPA di Facebook pada Isnin.
Untuk rekod, hantaran itu dipercayai tular selepas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Zahid Hamidi pada Januari mengumumkan skim perkhidmatan awam baru akan dilaksanakan.
Difahamkan, kerajaan juga memaklumkan cadangan skim baru itu sedang dikaji dan akan dimuktamadkan pada suku kedua tahun ini namun tiada lagi makluman baru yang diterima berhubung perkara itu.