Jenazah Amir dikebumi dekat kediaman keluarga kandung di Melaka, bukan famili angkat di Rawang

JENAZAH Zubaidi Amir Qusyairi Abd Malek, 7, kanak-kanak malang yang dilaporkan lemas dalam tong dalam kejadian di Taman Krubong Jaya, Melaka Tengah, Melaka Jumaat lalu, akan dituntut dari Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Melaka pagi ini, lapor Astro Awani.

Menurut seorang waris keluarga ibu kandungnya, jenazah kanak-kanak berusia 7 tahun yang dipanggil ‘Adik’ itu akan dibawa pulang ke kediaman keluarga neneknya di Simpang Bekoh, Jasin Melaka untuk dikebumikan.

Tinjauan Astro Awani di kediaman keluarga ibu kandungnya di Taman Kasturi, Melaka, bagaimanapun mendapati keadaan sunyi tanpa kehadiran orang ramai atau saudara mara. Hanya kedengaran alunan ayat-ayat suci Al-Quran dari dalam rumah.

Sementara itu, menurut sumber keluarga angkat kanak-kanak itu, keluarga ibu kandungnya bertegas menyelesaikan urusan pengebumian di kampung ibunya dan tidak membenarkan jenazahnya dibawa pulang ke Rawang, Selangor.

“Tengah malam tadi baru kita dapat kata putus dari keluarga sebelah sana (Jasin), dan mereka bertegas untuk kekal kebumikan di kampung mereka.

“Bagaimanapun, saya tahu Umi (ibu angkat) akan cuba berunding lagi pagi ini untuk bawa jenazah pulang ke kediaman dia dibesarkan di Rawang. Tetapi, jika mereka tetap bertegas kami terpaksa akur,” ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Masjid Al-Hidayah, Chabau, di sini, Rosli ibrahim, memaklumkan sebuah van jenazah dari masjid berkenaan telah bergerak ke Hospital Melaka bagi membantu membawa jenazah untuk dikebumikan.

Ujarnya, liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Padang Lebar yang terletak kira-kira 100 meter dari kediaman keluarga itu juga telah digali tengah hari semalam atas permintaan mereka.

Menurutnya lagi, jenazah dijangka dibawa ke Surau As-Syakirin, Simpang Bekoh, di sini untuk disembahyangkan sebelum dikebumikan.

Terdahulu, proses bedah siasat mayat kanak-kanak malang itu bermula kira-kira jam 11 pagi Ahad sebelum selesai jam 10 malam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri ACP Mohd Sukri Kaman mengesahkan terdapat pelbagai kecederaan termasuk luka baru dikesan di bahagian belakang kepala kanak-kanak itu.

Dalam perkembangan berkaitan, jenazah Amir selamat dikebumikan hari ini.

Majlis pengebumian selesai pada jam 12.45 tengah hari di Tanah Perkuburan Islam Padang Lebar di sini, dengan dihadiri ahli keluarga kandung dan keluarga angkat kanak-kanak berusia tujuh tahun itu.

Suasana pilu sepanjang majlis pengebumian yang berlangsung kira-kira 35 minit.
Hanya keluarga terdekat dibenarkan berada di sekitar liang lahad bagi menyaksikan pengebumian.

Terdahulu, jenazah yang dituntut pagi tadi oleh waris keluarga ibu kandung di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka telah dibawa ke Madrasah As-Syakirin untuk dimandikan dan disembahyangkan.

Ia sekali gus menamatkan teka-teki lokasi pengebumiannya yang mana ibu angkatnya yang membesarkannya sejak lahir sehingga Oktober tahun lalu, merayu jenazah itu dibawa ke Rawang, Selangor.

Namun, permintaan itu ditolak oleh keluarga kandung.

Pada awalnya, pihak polis membenarkan liputan media dibuat di tanah perkuburan itu, bagaimanapun atas permintaan keluarga kandung, media diarah keluar dan hanya berada di luar pagar.

Sementara itu, ibu angkat kanak-kanak itu, Norlida Abu Hassan, ketika ditemui selepas pengebumian sempat menyatakan syukur akhirnya majlis pengebumian kanak-kanak yang dipanggil ‘Adik’ itu berjalan lancar.

“Walaupun Umi sedih tidak dapat bawa Adik pulang ke rumah kami di Rawang, namun Umi syukur semuanya selesai.

“Umi janji selepas ini Umi akan selalu datang Melaka jengah kubur Adik. Malam tadi pun Abang Ngah sampai termimpikan Adik,” katanya dalam linangan air mata.

Terdahulu, proses bedah siasat mayat kanak-kanak malang itu bermula kira-kira jam 11 pagi Ahad sebelum selesai jam 10 malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri ACP Mohd Sukri Kaman mengesahkan terdapat pelbagai kecederaan termasuk luka baru dikesan di bahagian belakang kepala kanak-kanak itu.

sumber : Astro Awani