Jenazah Allahyarham Sandra Dianne akan dikebumikan di Sabah

JENAZAH Allahyarham peserta program Big Stage, Sandra Dianne akan dikebumikan di kampung halamannya di Tuaran, Sabah, petang ini.

Wakil syarikat rakamannya yang dikenali sebagai Vea menjelaskan urusan membawa pulang jenazah ke Sabah sedang diuruskan keluarga arwah.

“Keluarga arwah mahu mempercepatkan urusan pengebumian di Sabah.

“Berkemungkinan arwah akan disemadikan di kampung halamannya di Kampung Kauluan, Tuaran pada petang ini. Lagi cepat, lebih baik seperti yang diharapkan,” katanya.

Kata Vea lagi, keluarga arwah juga berdoa agar urusan pengebumian dipermudahkan.

“Pihak keluarga arwah juga memohon maaf jika arwah mempunyai salah dan silap. Sama-sama kita sedekahkan al-Fatihah.

“Ketika ini, emosi keluarga arwah terganggu dengan apa yang terjadi,” katanya.

Sementara itu, Vea mengesahkan Sandra menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Putrajaya pada jam satu pagi tadi.

Terdahulu, Allahyarham Sandra, 26, terbabit dalam kemalangan ketika dalam perjalanan mengikuti latihan konsert minggu keempat Big Stage 2020 pada Sabtu.

Arwah sebelum ini pernah popular dengan lagu Hey Kau! dan Terkemuka duet bersama Benzooloo dan Zizi Kirana.

Bakat arwah mula bersinar melalui program program realiti Mentor Legend 2014 yang disertainya.

Sumber: Berita Harian