BAGAN SERAI – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa pemimpin tidak seharusnya menggunakan kelebihan dan kedudukan mereka untuk melakukan penyelewengan, termasuk mencuri wang kerajaan.
Beliau menekankan kepentingan setiap pemimpin untuk bermuhasabah diri, terutamanya di bulan Ramadan.
Dalam ucapannya, Anwar turut mengulangi pendiriannya untuk tidak mengambil gaji sebagai Perdana Menteri, walaupun beliau berhak berbuat demikian. Langkah ini diambil bagi membuktikan kepada rakyat bahawa bukan semua menteri menyeleweng wang kerajaan.
“Saya tidak mengambil gaji kerana saya ingin menunjukkan bahawa tidak semua menteri mencuri wang rakyat. Gaji adalah hak seseorang, tetapi jangan mencuri atau menyembunyikan wang di tempat lain.
“Tidak boleh jadi Perdana Menteri atau Menteri Kewangan semata-mata untuk mengkayakan diri sendiri. Jika itu berlaku, negara akan musnah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa bersama Perdana Menteri di Sekolah Kebangsaan (SK) Dato’ Alaudin, Selinsing, hari ini.
Turut hadir ialah Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suadi Abdul Rahim; dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.
Anwar menegaskan bahawa beliau tidak menyimpan dendam terhadap sesiapa pun kerana tumpuan utamanya kini adalah menguruskan negara dengan amanah.
“Ada yang kata saya berdendam atau marah. Saya sudah menjadi Perdana Menteri, jadi apa perlunya saya bergaduh lagi?
“Sebagai Perdana Menteri, tanggungjawab saya adalah memastikan wang rakyat digunakan sepenuhnya untuk kepentingan rakyat,” katanya.
Beliau turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM100,000 bagi setiap kampung melalui geran Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI), dengan menekankan bahawa negara mampu berbuat demikian sekiranya wang kerajaan tidak disalahgunakan.
“Semangat Ramadan mengajar kita membentuk akhlak, nilai, dan disiplin. Kita tidak boleh menipu, walaupun manusia tidak tahu, Allah SWT mengetahui.
“Madrasah Ramadan seharusnya membentuk keyakinan dan integriti diri agar kita memperbetulkan nilai-nilai dalam kehidupan,” ujarnya.