Jamal Yunos curi tumpuan lagi, didakwa di mahkamah buat video komen jelik di Facebook

KETUA UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan mengeluarkan video kenyataan jelik di laman sosial Facebook.

Pengakuan tidak bersalah itu dibuat di Mahkamah Sesyen Ampang hari ini terhadap dua pertuduhan berkenaan yang dilakukan pada 20 Ogos lalu.

Bagi kedua-dua pertuduhan, Jamal dikatakan dengan sengaja memuat naik video tersebut dengan niat menyakitkan hati individu lain di Taman Dagang Avenue, Ampang Kuala Lumpur.

Kesalahan itu dilakukan menerusi profil Facebook Datuk Sri Jamal Yunos di pautan www. facebook.com/watch/live dimana keduaduanya masing-masing dilakukan pada 10 pagi dan 3 petang.

Jamal Yunos yang berusia 5 tahun dituduh mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) akta yang sama.

Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya S Sangitaa menawarkan jaminan RM20,000 bagi setiap pertuduhan memandangkan kes berkenaan melibatkan kepentingan awam sebaik sahaja Jamal meminta kesnya dibicarakan.

Jamal yang diwakili oleh peguam Datuk Imran Tamrin memohon jaminan dikenakan dengan kadar yang lebih rendah berikutan perniagaan anak guamnya yang mengendalikan sebuah restoran terjejas akibat Covid-19.

Hakim Azrul Darus membenarkan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 18 Feb untuk sebutan semula kes dengan kedua-dua pertuduhan dibicarakan bersama. – TheNewsMalaysia

Most Popular