Isu pelajar universiti tawar diri jadi ‘sugar baby’ – SKMM mulakan siasatan

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyiasat dakwaan bahawa ramai wanita Malaysia terutamanya penuntut universiti, menawarkan diri sebagai “sugar baby” di laman aplikasi sugarbook.

Jabatan Komunikasi Korporat SKMM berkata, gimik pemasaran syarikat tersebut itu perlu disiasat untuk disahkan kerana profil pengguna boleh diolah sesuka hati bagi tujuan lain termasuk memperdaya mangsa.

“Internet dan aplikasi internet telah membuka ruang kepada komunikasi yang lebih luas dan terbuka termasuklah aktiviti tidak bermoral seperti penganjuran parti liar, hubungan terlarang dan aktiviti bertentangan dengan undang-undang seperti penyediaan khidmat pelacuran dalam talian,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat oleh polis di bawah Kanun Keseksaan.

“Jika terdapat unsur kegiatan pelacuran, tindakan lanjut akan dijalankan oleh PDRM manakala sekiranya platform itu didapati melanggar undang-undang negara ini, SLMM akan mengambil tindakan terhadap pengguna dan pemilik aplikasi berkenaan,” katanya.

Jabatan itu berkata, selain sugarbook, terdapat pelbagai aplikasi lain yang menawarkan perkhidmatan percintaan dalam talian.

“Pengguna harus sedar bahawa mereka mudah tertipu dan terdedah kepada risiko jenayah siber sekiranya tidak mengambil langkah keselamatan siber dan kawalan kendiri.

“Risiko scam percintaan akan bertambah dengan terdedah juga kepada malware dan spyware, kebocoran maklumat peribadi serta gangguan seksual,” katanya kepada Sinar Harian.

Sebelum ini, seramai 12,705 pelajar institut pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta dilaporkan mendaftar dengan aplikasi sugarbook untuk mencari ‘sugar daddy’.

Sumber: sinar harian