Inspektor didakwa rogol, cabul & lakukan seks luar tabii dengan tahanan wanita di pejabatnya

SEORANG pegawai polis berpangkat Inspektor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini atas empat pertuduhan merogol, lakukan persetubuhan luar tabii dan mencabul kehormatan seorang tahanan wanita di pejabatnya tahun lalu.

Tertuduh, A. Teevagar Gabrialnayagam,30, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin, lapor Kosmo.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol seorang wanita berusia 29 tahun dengan kerelaannya yang diperoleh oleh tertuduh menggunakan kedudukan kuasa terhadap mangsa.

Bagi pertuduhan kedua, Teevagar Gabrialnayagam didakwa dengan sengaja melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap wanita sama tanpa kemahuannya.

Berdasarkan pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa telah menggunakan kekerasan jenayah ke atas wanita sama dengan niat untuk melakukan pencabulan terhadap kehormatannya.

Ketiga-tiga kesalahan itu dilakukan oleh tertuduh di bilik pegawai penyiasat, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu di sini kira-kira pukul 3 petang hingga 5.30 petang pada 5 Jun 2021.

Bagi pertuduhan keempat, tertuduh didakwa dengan sengaja melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap wanita sama tanpa kemahuannya.

Memetik laporan Kosmo sebelum ini, seorang pegawai polis ditahan selepas dipercayai merogol seorang tahanan wanita yang juga janda di pejabatnya di IPD Kota Bharu di sini.

Tidak cukup dengan itu, wanita yang mempunyai dua anak tersebut dipaksa melakukan seks oral oleh pegawai polis itu.

Sumber: Kosmo