Insiden pesawat TUDM terhempas, PM rakam ucapan takziah

PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Allahyarham Kapten Mohamad Affendi Bustamy yang terkorban dalam insiden pesawat Hawk 108 di Butterworth, Pulau Pinang semalam.

Menerusi catatan ringkas di Facebook, Perdana Menteri mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat Allah SWT dan ditempatkan bersama golongan yang beriman.

“Innalillahiwainnailaihirojiun. Alfatihah,” menurut catatan itu.

Nahas yang berlaku pada 10.07 malam semalam turut menyaksikan seorang lagi juruterbang TUDM Mejar Mohd Fareez Omar cedera.

Bagaimanapun setakat ini, Mohd Fareez dikatakan telah mula sedarkan diri di hospital.

Ketika kejadian kedua-dua juruterbang itu sedang menjalani latihan penerbangan di kawasan landasan Pangkalan Udara Butterworth.

Sementara itu, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan menjalankan siasatan terperinci berhubung insiden pesawat pejuang Hawk yang terhempas di Pangkalan Udara Butterworth semalam.

Dalam kejadian jam 10.07 malam Selasa, seorang juruterbang terkorban manakala seorang cedera selepas pesawat pejuang Hawk milik TUDM terhempas.

Juruterbang yang terkorban dikenali Kapten Mohamad Affendi Bustamy manakala rakannya, Mejar Mohd Fareez Omar kini menerima rawatan di HSJ dan dilaporkan dalam keadaan selamat dan stabil.

Dalam pada pada itu menerusi laporan Bernama, jenazah Kapten Mohamad Affendi Bustamy tiba di Masjid Al-Muadzam Shah, Rompin di 7.03 petang tadi untuk disembahyangkan.