Insiden gadis dakwa dirogol dalam lokap balai, ini sebab mengapa Ketua Polis Negara berang – “Saya amat kecewa dengan kejadian ini”

KETUA Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador melahirkan rasa berang dan mahu tindakan segera diambil terhadap pihak yang terlibat serta cuai sehingga berlakunya dakwaan kejadian rogol melibatkan seorang remaja perempuan berusia 16 tahun yang ditahan di lokap Balai Polis Pusat Miri, Sarawak pada 9 Januari lalu, lapor Kosmo!

Beliau berkata, siasatan lanjut berhubung kejadian itu sedang dilakukan pihaknya dan beberapa tindakan susulan juga telah diusulkan pihak Urusetia Perundangan Bukit Aman.

“Saya amat kecewa dengan kejadian ini dan pihak Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman telah mengambil tindakan ke atas jenayah ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Beliau mengulas mengenai seorang remaja perempuan yang membuat laporan polis pada 16 Januari lalu mendakwa telah dirogol seorang tahanan lelaki di lokap Balai Polis Pusat Miri, Sarawak pada awal Januari lepas.

Dakwanya, kira-kira pukul 4 hingga 5 pagi 9 Januari, sel lokapnya telah dibuka oleh seorang tahanan lelaki yang memiliki kunci dan dia telah dirogol oleh individu berkenaan di tandas balai polis tersebut.

Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidil Ismail berkata, kertas siasatan telah dibuka atas dakwaan kecuaian dan ketidakpatuhan kepada peraturan semasa bertugas menjaga lokap.

Katanya, tahanan lelaki yang terlibat itu sudah didakwa atas pertuduhan berkenaan mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan dan kes akan disebut semula di Mahkamah Miri pada 9 Februari depan.

“Dua pegawai polis yang ditugaskan menjaga lokap ketika kejadian itu telah digantung tugas dan kini sedang dalam siasatan.

“Siasatan juga dilakukan ke atas penyelia mereka bagi melihat sekiranya ada unsur kecuaian dalam kes ini,” katanya.

Dalam laporan polis, remaja perempuan berusia 16 tahun itu mendakwa ditahan sepasukan anggota polis di tempat kerjanya di sebuah restoran makanan laut di Miri, 8 Januari lalu, kerana disyaki terbabit aktiviti perjudian haram.

Dia kemudian ditahan di lokap Balai Polis Pusat Miri selama satu malam bagi membantu siasatan.

Remaja itu mendakwa, dia satu-satunya wanita ditahan di lokap berkenaan dan diletakkan dalam sel berasingan dengan 12 lagi tahanan lelaki.

Bagaimanapun, dia mendakwa, sel yang menempatkan 12 tahanan lelaki itu tidak berkunci.

Remaja itu mendakwa, antara jam 4 hingga 5 pagi, seorang tahanan lelaki dikatakan memiliki kunci lokap tahanan wanita, membuka pintu sel itu dan membawanya ke tandas balai polis sebelum merogolnya.

Sumber: Kosmo!