Insiden berbalas tembakan, empat warga asing maut

FOTO: FB Ayob Khan Mydin Pitchay

EMPAT lelaki warga dilaporkan maut dalam kejadian berbalas tembakan antara pihak polis pada awal pagi tadi di Batu Pahat Johor.

Insiden yang berlaku di Jalan Pagoh-Parit Sulong turut mengakibatkan kecederaan terhadap seorang anggota polis di bahagian tangan akibat ditikam senjata kerambit.

Menurut Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, kejadian tercetus selepas polis menahan dua buah kenderaan yang dalam keadaan mencurigakan.

Keadaan bertukar agresif apabila dua individu bertindak melepaskan tembakan ke arah anggota polis.

“Mereka cuba larikan diri dan berlaku pergelutan sehingga suspek nekad menikam anggota polis menggunakan senjata parang dan kerambit.

“Untuk mempertahankan diri pasukan polis telah lepaskan tembakan terhadap ancaman suspek,” katanya ketika sidang media di IPD Batu Pahat, Johor pagi tadi.

Kesemua suspek dikatakan tidak mempunyai pengenalan diri dan berusia lingkungan 23 hingga 40 tahun.

Hasil pemeriksaan mendapati kenderaan yang digunakan juga dilaporkan hilang di kawasan Desa Cemerlang, Seri Alam, Johor.

Pihaknya percaya kumpulan tersebut bergiat aktif dalam kegiatan samun serta pecah masuk premis di negeri itu.

Polis telah merampas sepucuk pistol jenis revolver berwarna hitam berisi enam kelongsong peluru, dua parang, sebilah kerambit, sebuah Perodua Myvi dengan nombor pendaftaran palsu, sebuah Toyota Avanza dan peralatan pecah rumah telah dirampas.

Sementara itu, mayat kesemua suspek dibawa ke Hospital Enche Besar Hajah Khalsom, Kluang untuk proses bedah siasat.

Kes disiasat di bawah seksyen 307/186 Kanun Keseksaan kerana cubaan bunuh dan menghalang penjawat awam.