Ibu kecewa bayi meninggal kerana diliwat suami pengasuh

BARU-BARU ini, khabar mengenai seorang bayi lelaki yang meninggal dunia di Kelana Jaya pada 27 April dipercayai diliwat suami pengasuhnya mengundang perasaan marah dan sedih warganet di media sosial.

Sehubungan itu, seorang wanita dipercayai ibu kepada bayi berusia sembilan bulan itu meluahkan rasa kecewa terhadap kejadian menyayat hati selain menuntut keadilan di atas kematian anaknya.

Menerusi perkongsian di laman Facebook, wanita tersebut tidak menyangka suspek lelaki berusia 36 tahun itu tergamak melakukan tindakan keji tersebut sehingga beberapa kesan koyakan terdapat di bahagian dubur mangsa.

Menurut BH Online, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, kematian dipercayai akibat sesak nafas kerana mulut mangsa ditekup menggunakan tangan suspek.

Difahamkan, suspek wanita sedang mengemas ruang tamu dan membiarkan suaminya bersendirian dengan mangsa di dalam bilik yang dikunci selama dua jam ketika kejadian berlaku.

Selepas mangsa tidak sedarkan diri, bayi malang itu dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan oleh suspek lelaki.

Walau bagaimanapun, pasangan tersebut telah ditahan polis dan didakwa dan disahkan kedua-duanya positif dadah jenis syabu.