Hospital Pakar Avisena bina bangunan tambahan, tingkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan

Fasiliti kesihatan swasta, Hospital Pakar Avisena, Shah Alam, Selangor akan membina bangunan tambahan 11 tingkat yang akan meningkatkan kualiti hospital tersebut dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan buat pesakit.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly, telah merasmikan Majlis Pecah Tanah Bangunan 11 Tambahan 11 Tingkat yang bertempat di Hospital Pakar Avisena pada Isnin.

“Bangunan tambahan dijangkan akan mula beroperasi menjelang 2027 dan akan menempatkan sebanyak 275 katil, 35 sub-kepakaran, 80 suite pakar, 10 teater pembedahan termasuk satu teater pembedahan hibrid dan perkhidmatan onkologi yang komprehensif.

“Pembinaan ini bertujuan untuk meningkatkan kualiti Hospital Pakar Avisena dalam menyampaikan perkhidmatan kesihatan kepada pesakit yang lebih luas, sejajar dengan inisiatif ‘Public-Private Partnership’ (PPP) kerajaan untuk mengukuhkan akses penjagaan kesihatan di seluruh negara,” kata kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Dalam ucapan perasmiannya, Dzulkefly menekankan bahawa penawaran perkhidmatan penjagaan yang holistik bersifat ‘preventive dan promotive‘ dengan dibantu oleh teknologi terkini.

“Penjagaan kesihatan yang menyeluruh serta mampan dan mampu biaya akan membantu untuk meningkatkan natijah kesihatan atau ‘health outcome‘,” katanya dalam ucapan tersebut.

Turut hadir dalam majlis perasmian tersebut, Pengerusi Avisena Healthcare, Tan Sri Datuk Seri Abdul Aziz Mohd Yusof; Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pakar Avisena, Dr Razman Abd Karim dan Pengarah Perubatan Hospital Pakar Avisena, Datuk Dr Abdul Rahman bin Mohd Ali