Hilang empat hari, mayat dijumpai atas bumbung selepas terjatuh semasa petik buah mangga



KEHILANGAN seorang lelaki yang dilaporkan hilang sejak Jumaat lalu akhirnya terjawab apabila polis menemui mayatnya di atas bumbung sebuah kedai besi di Kampung Bukit Kapar, Meru semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Utara ACP Nurulhuda Mohd Salleh berkata, mangsa dipercayai terjatuh dari pokok mangga berhampiran kedai itu.

Menurutnya, mangsa berusia 54 tahun itu merupakan pekerja yang mengambil upah mengecat di sekitar lokasi kejadian.

“Siasatan awal mendapati tiada kesan perlakuan jenayah,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam pada itu, saksi turut memberitahu mangsa beberapa kali cuba memanjat pokok berkenaan bagi tujuan memetik buah sebelum dikatakan terjatuh dan tidak sedarkan diri.

“Kali terakhir si mati dilihat pada petang Jumaat lalu dan kes di klasifikasi sebagai mati mengejut sehingga mendapat keputusan bedah siasat,” katanya.

Mangsa berkenaan juga difahamkan telah dicari pihak keluarganya beberapa hari sebelum mayat yang dalam keadaan berulat ditemui.