‘Hero Batang Kali’, Denti dan Frankie tangkas bertugas di Turki

PRIHATIN dengan musibah yang melanda, kerajaan Malaysia telah menghantar pasukan MAS-01 SMART dan MAS 10 untuk membantu dalam operasi SAR gempa bumi di Turkiye. Dua daripada anggota pasukan tersebut merupakan anjing pengesan bernama Denti dan Frankie.

Anjing pengesan milik unit K9 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) jenis Labrador dan English Springer Spaniel itu ditugaskan untuk menghidu dan mengesan mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan konkrit.

Gambar hiasan

Denti dan Frankie yang telah diterbangkan ke Turkiye bersama-sama pengendali mereka, Tony Albert Mani dan Y Thibagaran dilaporkan tangkas bertugas memeriksa setiap rekahan dan lubang pada runtuhan walaupun di dalam keadaan cuaca yang sejuk.

Memetik laporan Berita Harian, salah seorang pengendali anjing tersebut iaitu pegawai bomba Y Thibagaran, kedua-dua anjing pengesan tidak menunjukkan apa-apa masalah untuk menyesuaikan diri dengan cuaca yang amat sejuk.

Bagaimanapun, Thibagaran tetap melahirkan kebimbangan disebabkan banyak besi tajam di kawasan runtuhan yang boleh melukakan kaki dua ekor hero itu.

“Setakat ini tiada masalah kesihatan dan pemakanan yang dialami oleh kedua anjing.

“Mereka sentiasa dalam keadaan bersedia untuk berkhidmat apabila diperlukan,” kata Thibagaran kepada Berita Harian.

Sumber gambar – Youtube Bernama & Freepik | Sumber laporan – Berita Harian