Home Berita Semasa Helikopter TLDM mendarat cemas di Lumut, tiada kru cedera

Helikopter TLDM mendarat cemas di Lumut, tiada kru cedera

SEBUAH helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) jenis AS 555 SN Fennec disahkan terlibat dalam kemalangan selepas terpaksa mendarat cemas di Pangkalan TLDM Lumut pagi tadi.

Kejadian ini merupakan kemalangan pertama melibatkan pesawat TLDM sepanjang lebih 30 tahun penubuhan Skuadron Udara TLDM iaitu KD Rajawali yang berpangkalan di Lumut.

Selain enam buah helikopter AS 555 SN Fennec, TLDM turut mengoperasikan enam helikopter tempur jenis Super Lynx dimana kesemuanya memiliki rekod penerbangan cemerlang.

Menurut kenyataan media yang dikongsi melalui laman sosial rasmi TLDM, helikopter yang sedang membuat penerbangan operasi itu telah membuat pendaratan kecemasan di Pangkalan TLDM Lumut pada jam 12 tengah hari tadi.

Kesemua krew berjaya diselamatkan dan kini sedang menjalani pemeriksaan lanjut di Hospital Angkatan Tentera TLDM Lumut.

Difahamkan, insiden ini tidak melibatkan sebarang kecederaan kepada orang awam dan kawasan insiden terkawal.

Dalam pada itu, TLDM akan menubuhkan Lembaga Siasatan bagi mengenalpasti punca kejadian.

Sumber: Kosmo