Home Berita Semasa Hati-hati! Omicron kini telah memasuki Malaysia

Hati-hati! Omicron kini telah memasuki Malaysia

VARIAN baharu COVID-19 yang dikenali sebagai Omicron kini telah melaporkan kes pertama di negara ini melibatkan seorang pelajar warga asing berusia 19 tahun.

Menurut Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, pelajar tersebut didapati positif COVID-19 pada 19 November lepas dan telah mengakhiri proses kuarantin pada 29 November lalu.

Individu yang merupakan pelajar di sebuah universiti swasta di Ipoh, Perak itu dikesan hasil daripada ujian PCR Genotyping Assay yang dijalankan terhadap 74 sampel positif COVID-19 di Pintu Masuk Antarabangsa KLIA, antara 11 November hingga 28 November, 2021.

“Hasil daripada ujian PCR Genotyping Assay, satu daripada sampel telah dikesan berkemungkinan besar adalah VOC Omicron. Jujukan genom seterusnya dilaksanakan mendapati keputusan positif bagi varian Omicron pada 2 Disember 2021.

“Kes telah diberi Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di bawah Seksyen 15, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342) dan menjalani kuarantin wajib di penginapan yang disediakan oleh pihak universiti di Ipoh. Perjalanan kes dari KLIA ke Ipoh adalah menggunakan bas yang disediakan khas oleh pihak universiti,” katanya dalam sidang media khas di Putrajaya, hari ini.

Tambah Khairy, hasil penyelidikan (Institute for Medical Research – IMR) telah mengesahkan bahawa kes tersebut merupakan varian Omicron pada 2 Disember.

Setakat ini, kesemua langkah pencegahan termasuk pengesanan kontak rapat, ujian saringan dan kuarantin wajib telah dijalankan terhadap kesemua individu terlibat.

Hasil penelitian bagaimanapun mendapati kesemua mereka negatif.

Exit mobile version