Hanya dendam politik, SPRM masih sokong Azam Baki

Foto: Bernama

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan tetap menzahirkan sokongan terhadap Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki yang kini disiasat berhubung beberapa kes.

SPRM berpendirian serangan terhadap Ketua Pengarahnya itu lebih tertumpu kepada elemen dendam politik selain ia hanya bertujuan untuk menjatuhkan imej dan reputasi Azam Baki.

Menerusi kenyataan bersama yang dibuat hari ini, ia terdiri daripada pengurusan tertinggi SPRM merangkumi antaranya Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi), Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya, dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan), Datuk Seri Norazlan Mohd Razali.

“Kami mewakili seluruh warga SPRM menyatakan pendirian kami menyokong kepimpinan Azam.

“Kami menggesa agar semua pihak menghentikan kemelut ini dan membiarkan proses undang-undang berjalan secara adil, telus dan saksama.

“Warga SPRM tetap bersatu hati dalam mempertahankan institusi Ketua Pesuruhjaya dan SPRM demi kelangsungan pencegahan rasuah di negara tercinta,” katanya, hari ini.

Ketika ini, Azam Baki masih dalam proses siasatan Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sementara itu, Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) yang merupakan salah satu pemantau bebas SPRM mendapati tidak wujud sebarang perlakuan jenayah membabitkan Azam Baki.

Perkara itu merujuk kepada urus niaga saham pada tahun 205.

Difahamkan, Azam Baki telah menjelaskan bahawa akaun sahamnya digunakan oleh adiknya, Datuk Nasir Baki, untuk membeli saham pada 2015.

Baru-baru ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM itu menafikan dakwaan penglibatan beliau mengawal beberapa syarikat.

Azam dilanda kontroversi berhubung dakwaan pemilikan saham di dua syarikat pada 2015.

Berdasarkan laporan tahunan Excel Force Bhd 2015, Azam memiliki 2,156,000 waran dalam syarikat itu setakat 21 Mac 2016.

Ketika itu, Azam adalah Pengarah Bahagian Siasatan SPRM.