Home Berita Semasa Gugurnya perwira negara di ‘medan perang’ Covid-19

Gugurnya perwira negara di ‘medan perang’ Covid-19

SEORANG doktor yang bertugas sebagai barisan hadapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meninggal dunia, kelmarin, lapor Harian Metro.

Berita sedih itu disampaikan menerusi hantaran dimuat naik Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia (SPJM) di Facebook (FB), semalam.

Menerusi hantaran itu, SPJM memaklumkan, pihaknya dimaklumkan mengenai kematian Allahyarham Dr Ali Noor Hassan melalui akaun FB miliknya.

“Arwah adalah ahli berdaftar SPJM dan mengikuti SPJM sejak 2018 serta menyertai Kursus Pengurusan Jenazah SPJM di Surau Quba Sentul pada dua tahun lalu.

“Dr Ali dikhabarkan sebagai seorang ahli khidmat dakwah dan sudah dua kali menyertai ijtimak atau perhimpunan jemaah tabligh di Beaufort, Sabah.

“Setiap kali ijtimak besar jemaah tabligh di Sabah, Dr Ali akan datang dari Selangor berkhidmat secara sukarela sebagai petugas perubatan bagi peserta ijtimak,” katanya.

Menurutnya, SPJM kehilangan seorang ahli yang begitu komited berkhidmat untuk ummah.

“Semoga Allah SWT menerima segala amal kebajikan beliau dan mengampuni segala dosanya yang lampau. Salam takziah buat ahli keluarganya,” katanya.

Dalam hantaran itu, SPJM berkongsi gambar terakhir Dr Ali yang sempat diambil rakannya sebelum beliau jatuh sakit kerana beban kerja terlalu penat dan letih selain kekurangan masa untuk beristirehat selepas bertugas di barisan hadapan KKM menangani Covid-19.

Difahamkan beliau tertidur ketika bertugas dan pengsan.

Dalam pada itu, Sinar Harian melaporkan, KKM menafikan bahawa Dr Ali meninggal dunia akibat terlampau penat dengan beban tugas.

Sebaliknya kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah kepada Sinar Harian, doktor itu mempunyai penyakit lain.

“Beliau telah dikesan mempunyai penyakit lain dan tak ada kaitan dengan kelesuan bekerja,” katanya kepada Sinar Harian menerusi aplikasi WhatsApp sebentar tadi.

Sumber: Harian Metro, Sinar Harian

Exit mobile version