Gempar kubur berdarah, jemaah masjid buat laporan polis

JEMAAH Masjid Al Irfan Derga di Alor Setar, Kedah membuat laporan polis susulan dakwaan sebuah kubur di tanah perkuburan berhampiran mendap dan mengeluarkan cecair merah dikatakan darah.

Seorang ahli kariah masjid itu, Alias Ishak, 40-an, berkata, laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, malam tadi selepas video dan gambar mengenai kubur itu tular di media sosial.

Katanya, mendapan yang berlaku di kubur itu juga sudah ditimbus jemaah masjid.

“Saya tidak tahu bila kejadian itu berlaku cuma tengok di WhatsApp apabila video tersebar dan berharap orang ramai janganlah berkumpul di situ lagi.

“Lagipun Kota Setar masih di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran dan dimaklumkan jemaah masjid juga sudah membuat laporan polis,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Alias juga berharap kisah kubur yang didakwa orang ramai sebagai ‘berdarah’ tidak ditularkan lagi kerana tidak mahu menimbulkan fitnah dan aib kepada jenazah serta warisnya.

Menurutnya, jenazah itu dikebumikan kira-kira dua minggu lalu, dan dia difahamkan jemaah masjid sudah melawat kubur berkenaan serta mengesan cecair merah di atasnya tetapi tidak pasti cecair apa.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Nor Azman Mohd Noor ketika dihubungi memberitahu siasatan lanjut sedang dilakukan.

“Kita belum terima maklumat jelas, siasatan sedang dibuat,” katanya ringkas.

Terdahulu, kecoh di media sosial mengenai kubur mendap dan dikatakan mengeluarkan cecair merah seakan darah di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al Irfan Derga.

Ia susulan video dimuat naik ke media sosial hingga menimbulkan panik orang ramai.

Sumber: Harian Metro