Gelar murid ‘anak setan’ di FB bapa Ain Husniza, KPM digesa ambil tindakan terhadap pengetua

AHLI Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) Selangor menggesa agar Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil tindakan tegas kepada pengetua sebuah sekolah yang didakwa menulis komen negatif ke atas seorang pelajar, Ain Husniza Saiful Nizam sebelum ini.

Menerusi satu kenyataan bersama pada Isnin, ahli Parlimen dan ADUN terlibat berkata, gesaan itu dibuat berikutan sehingga kini, pengetua terbabit masih tidak menafikan perbuatannya itu dan turut memadamkan komen di laman Facebook bapa Ain Husniza, Saiful Nizam Abdul Wahab, lapor Sinar Harian.

Katanya, selain itu, guru terlibat dengan jenaka lucah dan pelajar yang membuat ugutan rogol terhadap Ain Husniza sebelum ini juga masih belum menerima sebarang hukuman berat susulan tindakan mereka itu.

Tangkap layar komen pengetua terbabit yang tular di laman sosial.

“KPM dalam maklum balasnya sebelum ini juga tidak merujuk kepada kes Ain namun hanya tertumpu kepada isu pemeriksaan haid ke atas pelajar.

“Kami mendesak KPM mengkaji semua sistem pendidikan dan mengambil tindakan tatatertib tegas ke atas pengetua sekiranya dia didapati menulis komen negatif tersebut,” katanya.

Kenyataan yang dikeluarkan itu ditandatangani oleh 11 ahli Parlimen dan 27 ADUN PH Selangor.

Ain Husniza sebelum ini menjadi perhatian apabila mendedahkan mengenai tindakan gurunya membuat jenaka lucah dan turut menerima ancaman rogol daripada pelajar sekolahnya susulan pendedahan terbabit.

Menerusi laman Twitternya, @ant33ater, pada awal pagi Ahad, Ain juga meluahkan kekecewaannya apabila pihak sekolah memberinya surat amaran selepas dia didakwa tidak hadir selama tiga hari.

Pada hari sama, Saiful Nizam turut menyiarkan tangkap layar di Facebook berkaitan komen yang katanya ditulis oleh seorang guru.

Wanita itu didakwa menggelar Ain Husniza sebagai munafik dan anak perempuan yang kurang ajar di satu poster forum dalam talian yang bertajuk ‘Speak Up!’.

Mengulas lanjut, kenyataan itu berkata, Ain Husniza telah dinafikan hak untuk menerima pendidikan di sekolahnya dan dia juga mungkin terpaksa berpindah ke sekolah lain selepas ini.

“Sekolah tersebut telah mengabaikan hak pendidikan Ain dan tidak memastikan persekitaran yang selamat untuk dia kembali ke sana,” katanya.

Dalam pada itu, kenyataan itu juga menggesa agar KPM mengembalikan semula nama baik institusi pendidikan di negara ini agar dapat mempertahankan reputasi mereka dan melahirkan lebih ramai rakyat kelas pertama.

“Akta Kesaksamaan Gender seperti dicadangkan oleh PH sebelum ini mesti dilaksanakan bagi memastikan anak-anak kita dilindungi,” tambahnya.

Sumber: Sinar Harian